Amali Fotosintesis 1: Kromatografi Kertas Pigmen Daun (Panduan Pelajar)
Amali ini memisahkan pigmen fotosintesis daripada daun bayam Brazil (Alternanthera sissoo) dengan kromatografi kertas. Pelajar mengkaji kesan dua faktor terhadap pemisahan pigmen, iaitu jenis pelarut pengembang dan jenis kertas. Pigmen seperti klorofil dan karotenoid terdapat dalam fotosistem di dalam kloroplas dan menyerap tenaga cahaya untuk tindak balas cahaya fotosintesis.
Halaman ini mengandungi panduan ringkas bergambar dan manual penuh dalam bentuk PDF. Baca manual penuh sebelum memulakan amali.

Panduan ringkas amali. Kromatogram dalam panduan ini ialah ilustrasi sahaja; keputusan sebenar mungkin berbeza.
Muat turun manual penuh (PDF)
Manual penuh mengandungi bahan dan radas, peralatan pelindung diri, prosedur langkah demi langkah dengan rajah, reka bentuk eksperimen, cara mengira faktor penahanan (Rf), masalah lazim dan penyelesaian, serta glosari dwibahasa (Bahasa Melayu dan English).
Jika butang di atas tidak berfungsi, klik di sini untuk memuat turun PDF.
Ringkasan amali
Reka bentuk: eksperimen faktorial 2 × 3, iaitu 2 pelarut pengembang (aseton dan etanol) × 3 jenis kertas (kertas turas, kertas penapis kopi dan tuala kertas) = 6 rawatan.
Ulangan: 3 sesi berasingan, jadi 6 rawatan × 3 ulangan = 18 jalur kertas. Setiap sesi menggunakan satu ekstrak aseton yang baharu untuk keenam-enam rawatan, dan setiap jalur kertas dikembangkan dalam balang kacanya sendiri.
Ukuran: bilangan jalur pigmen, kejelasan jalur (skala 1 hingga 3) dan nilai Rf.
Rf = jarak yang dilalui pigmen ÷ jarak yang dilalui pelarut, kedua-duanya diukur dari garisan dasar. Contoh: 8.1 cm ÷ 9.0 cm = 0.90.
Jadual 4 minggu
Minggu 1: larian rintis. Sediakan bahan, fahami prosedur dan pastikan kaedah berjaya dengan bayam Brazil. Ambil gambar setiap kromatogram.
Minggu 2: Sesi 1, jalankan 6 rawatan dan rekod keputusan.
Minggu 3: Sesi 2 dan 3 pada hari yang berbeza, dan rekod keputusan.
Minggu 4: Kira purata, bandingkan rawatan, siapkan video dan laporan.
Keselamatan
Aseton dan etanol mudah terbakar. Jalankan amali di tempat berpengudaraan baik dan jauh daripada api.
Di sekolah dan makmal, gunakan pelarut hanya dengan kebenaran dan pengawasan guru atau pegawai makmal. Di rumah, hanya dengan pengawasan orang dewasa.
Pakai cermin mata keselamatan, sarung tangan nitril pakai buang dan kot makmal. Sarung tangan nitril hanya melindungi daripada percikan; tanggalkan dan gantikan segera jika terkena aseton.
Gunakan balang kaca, bukan plastik.
Kumpulkan baki pelarut dan ekstrak dalam bekas sisa kimia berlabel. Jangan tuang ke dalam sinki.
Panduan video pelajar
Rakam setiap langkah, termasuk percubaan yang gagal dan cara membaikinya.
Tunjukkan dengan jelas cara menumbuk daun, saiz titik ekstrak dan cara jalur kertas digantung pada lidi sate.
Tunjukkan pengukuran dan pengiraan Rf dengan jelas.
Gunakan Bahasa Melayu sepanjang video, dan sebut istilah bahasa Inggeris bagi setiap istilah penting pada kali pertama, contohnya "hadapan pelarut (solvent front)".
Rujukan: Taiz, L., Møller, I. M., Murphy, A. dan Zeiger, E. (2023). Plant Physiology and Development, edisi ke-7. Oxford University Press.


Comments